Welcome

You just entering e-terminal.blogspot.com the cyber port for construction site personnel to share their knowledge on improving their construction management skill...
Custom Search

Monday, June 30

6,000 kontraktor kritikal

KUALA LUMPUR 29 Jun - Kira-kira 6,000 kontraktor Melayu yang terlibat menjayakan projek-projek rakyat di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) menunggu masa untuk menghentikan pembinaan ekoran kenaikan harga bahan binaan yang tidak terkawal dan melampau.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Terengganu, Abdul Razak Yaacob berkata, pihaknya menjangkakan antara 60 hingga 70 peratus projek tersebut akan terbengkalai jika masalah kenaikan harga itu dibiarkan berlarutan.

Menurutnya, keadaan akan lebih kritikal sekiranya kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan dengan kemungkinan besar jumlah projek yang terbengkalai boleh mencecah 90 peratus menjelang hujung tahun ini.

''Kontraktor terbabit memerlukan suntikan tambahan daripada kerajaan iaitu dalam bentuk ex-gratia iaitu 20 peratus daripada harga tender asal. Ini disebabkan harga bahan binaan semakin tinggi terutama sejak kenaikan harga minyak baru-baru ini.

''Jika permintaan ini tidak diambil perhatian oleh kerajaan, mereka terpaksa menghentikan projek kerana tidak sanggup lagi dibebani kenaikan kos pembinaan yang melampau,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Peningkatan harga barang binaan menjadi isu sejak awal tahun ini dan ia menjadi kritikal apabila berlakunya kenaikan minyak seperti mana yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Keadaan yang serupa berlaku di Johor apabila sebahagian besar kontraktor bumiputera di negeri itu tersepit dengan masalah kenaikan harga bahan binaan.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor, Ir. Mahmood Amir berkata, kontraktor di Johor serta di seluruh negara secara amnya memerlukan bantuan segera daripada kerajaan bagi menangani masalah yang amat kritikal itu.

Dalam pada itu, ketika mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Khamis lalu berhubung peruntukan pembangunan tambahan, Abdul Razak mengakui ia boleh dianggap melegakan.

''Namun begitu apa yang perlu dilakukan sekarang kesemua kontraktor berkenaan perlu dibantu segera kerana keadaan mereka semakin tersepit,'' katanya lagi.

Beliau berkata, mereka terbabit dengan projek-projek rakyat seperti pembinaan balai polis sekolah, hospital, masjid, klinik dan jalan kampung yang bertujuan untuk memberi kemudahan kepada orang ramai.

''DPMM Terengganu amat bimbang melihat perkembangan ini kerana akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat sendiri kerana projek-projek itu gagal disiapkan.

''Kami juga sedih apabila melihat nasib kontraktor Melayu yang semakin menderita disebabkan masalah kenaikan minyak yang secara langsung memberi kesan kepada harga barang binaan,'' katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, masalah itu berpunca daripada harga tender yang ditawarkan tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.

''Mereka mendapat tawaran kerja pada awal tahun lalu iaitu selepas melalui proses tender terbuka dan sebutan harganya pula adalah berdasarkan harga lama.

''Apabila berlaku kenaikan harga bahan binaan sudah tentu mereka tidak boleh menampung peningkatan yang berlaku itu apatah lagi jika peningkatannya berlipat kali ganda,'' katanya.

Ditanya mengenai bentuk kenaikan harga binaan, Abdul Razak berkata, antaranya simen naik 60 peratus, besi (60 peratus), kayu (15 peratus), sewa jentera (40 peratus), batu (50 peratus) dan konkrit (30 peratus).

''Sebagai contoh harga simen sebelum naik RM11 tetapi sekarang telah jadi RM18. Dahulu harga besi RM2,000 setan tetapi sekarang sudah jadi RM4,000 setan.

''Begitu juga dengan sewa jentera. Dahulu kadarnya ialah RM8,000 sebulan tetapi kini naik RM12,000 sebulan. Jika kontraktor sewa selama 18 bulan berapa yang mereka terpaksa bayar?'' katanya.

No comments: